06 May 2007

Wartawan Malaysia Menang Pulitzer

Oleh Tham Choy Lin

Bagi kebanyakan wartawan, memenangi Anugerah Pulitzer adalah antara pencapaian paling tinggi dan membanggakan dalam kerjaya mereka.

Walaupun pencapaian ini hanya kekal sebagai impian bagi kebanyakan wartawan sehinggalah mereka memasuki alam persaraan, namun bagi Fong Foong Mei, 34, anugerah yang besar ertinya ini berjaya beliau perolehi dalam tempoh 10 tahun sahaja setelah bergelar wartawan.

Fong adalah antara tujuh wartawan Wall Street Journal (WSJ) yang memenangi anugerah antarabangsa Pulitzer 2007 pada 16 April lepas kerana siri laporan mereka mengenai kapitalisme di China pada tahun lepas.

"Ia sesuatu yang tidak pernah saya duga dan sebahagiannya mungkin ada kaitan dengan nasib. Memang sesuatu yang amat membanggakan apabila menerima hadiah paling tinggi dalam bidang kewartawanan ini kerana ia membawa prestij yang amat besar ertinya, tapi kehidupan perlu diteruskan seperti biasa dan saya perlu hasilkan berita seterusnya, tugas yang bukan mudah untuk dilaksanakan," kata bekas pelajar Sekolah Perempuan Bukit Bintang ini yang menggunakan nama Mei Fong dalam tulisannya.

Fong adalah anak bungsu kepada bekas timbalan ketua pengarah audit dalam perkhidmatan awam Malaysia, mendiang Fong Chee Yew, yang mempunyai lima anak perempuan.

Fong pernah menulis tentang pahit maung yang dialami oleh pekerja binaan imigran di Beijing dan menjadi penulis bersama sebuah laporan yang mengisahkan tentang kejayaan seorang doktor China yang mendapat ilham daripada filem Erin Brokovich, lakonan Julia Roberts, untuk menyelamatkan kampung halamannya di wilayah Fujian daripada pencemaran alam.

Laporan mengenai penderitaan pekerja imigran itu juga membawa tuah kepada Fong apabila beliau dipilih sebagai pemenang hadiah pertama Anugerah Akhbar Hak Asasi Manusia 2006 anjuran Kelab Wartawan Hong Kong dan Amnesty International awal tahun ini.

"Saya mengambil masa dua bulan untuk mencari orang yang sanggup bercakap dengan saya dan pekerja binaan ini terharu apabila mengetahui ada orang yang sudi mengambil tahu tentang apa yang mereka alami.

"Mengenai laporan tentang doktor itu pula, tugasannya memang susah kerana kami tidak bebas untuk bergerak dan membuat temuramah tanpa mendapat kelulusan rasmi terlebih dulu. Waiban (pejabat luar wilayah) hanya mengetahui apa yang kami lakukan pada penghujung tugasan kami dan mereka mengusir kami dari bandar itu. Kami menaiki sebuah kereta untuk keluar dari kawasan bergunung-ganang itu pada waktu malam dengan diikuti pegawai pejabat berkenaan. Nasib baik mereka tidak rampas buku nota kami," kata Fong.

Mulai tahun ini, wartawan asing tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan daripada pejabat itu untuk membuat temu bual dan mereka boleh memasuki China tanpa perlu mempunyai hos rasmi. Pengecualian ini berkuatkuasa mulai 1 Jan tahun ini sehinggalah berakhirnya sukan Olimpik dan Paralimpik 2008.

Fong pernah menuntut di Universiti Nasional Singapura dengan mendapat biasiswa daripada Singapore Press Holdings. Kemudian, beliau bertugas dengan The New paper selama tiga tahun dan pernah ditugaskan membuat liputan tentang demonstrasi yang dilancarkan puak "reformasi" di Kuala Lumpur.

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa di Columbia University sebagai penerima biasiswa Lee Foundation. Setelah menamatkan pengajian pada 2001, Fong memohon untuk menjalani latihan dengan agensi berita antarabangsa.

Bagaimanapun, profesor yang membimbing beliau mencadangkan kepada Fong supaya menjalani latihan tiga bulan dengan WSJ, tanpa diberi jaminan akan ditawarkan pekerjaan selepas itu.

"Oleh kerana membesar di Asia, saya jarang membaca WSJ, sedangkan saya memerlukan pekerjaan untuk terus tinggal di Amerika. Tapi, profesor saya menyuruh saya berbuat demikian dan menghadapi risikonya," kata Fong.

Langkah Fong ini membawa rahmat dan beliau diterima bekerja dengan WSJ. Ketika itulah berlakunya Peristiwa 11 Sept di Amerika.

Akibat peristiwa berdarah itu, WSJ terpaksa memindahkan pejabatnya. Namun demikian, ia tetap mampu menerbitkan akhbarnya untuk hari berikut. WSJ menerima anugerah Pulitzer sebagai pengiktirafan terhadap usahanya menyediakan laporan awal yang komprehensif tentang kejadian itu walaupun ia berdepan dengan keadaan yang begitu menyulitkan.

Fong meredah segenap jalan bagi mendapatkan cerita tentang usaha membangunkan semula kawasan berkenaanan. Kata wartawan ini, beliau bangga kerana dapat menghasilkan sebuah laporan tentang pekerja China di Manhattan yang kehilangan pekerjaan tetapi tidak layak menerima sebarang bantuan apabila seluruh kawasan dan kuasa elektrik di bandar raya itu dipotong.

"Mereka bekerja di kilang kain, yang sebahagian besarnya tidak lagi dapat berfungsi. Kebanyakan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris dan sebahagian besar pendatang wanita pula bekerja sebagai juruhias kuku sahaja," katanya.

Laporan itu mendorong pegawai bandar raya berkenaan mengubah dasar yang diamalkan sebelum itu, katanya.

Pada 2003, Fong dihantar bertugas di Hong Kong dan di Beijing pada tahun lepas. WSJ mempunyai enam wartawan di ibu negara China ini dan dua di Shanghai.

Fong, yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki Cina kelahiran Amerika, berkata beliau pulang ke Malaysia beberapa kali setiap tahun bagi melawat ibu dan kakaknya di Petaling Jaya, sambil mengambil peluang untuk menikmati mee goreng Hokkien dan roti canai yang sukar ditemui di tempat tinggalnya sekarang.

Bakat Fong dalam bidang penulisan terserlah sejak berada di bangku sekolah lagi. Pada 1989, beliau menang tempat ketiga dalam Pertandingan Menulis Esei Komanwel dan ibu bapanya menemani beliau untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah itu yang turut dihadiri Ratu Elizabeth dan allahyarham Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama, di Kuala Lumpur.

"Ibu bapa saya gembira hingga tak terkata, tapi saya tercari-cari Putera Andrew, kerana beliau umpama Putera William sekarang," kata Fong sambil ketawa.

Sumber: BERNAMA, 6 Mei 2007

No comments:

Post a Comment